
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada penyanyi, Aina Abdul yang bakal membawa nama Malaysia ke pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, pada 14 November ini.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan, Anwar menyifatkan penyertaan Aina dalam pertandingan berprestij itu sebagai bukti bahawa bakat serta karya anak Malaysia berupaya melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penyertaan Aina pastinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Saya mendoakan agar Aina dapat memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat.
“Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua. Terbang tinggi, Aina!” katanya di Instagram.
Anwar turut berharap Aina dapat memanfaatkan peluang berkenaan sebaik mungkin sekali gus mengharumkan nama negara menerusi persembahannya di pentas antarabangsa itu.
Penyertaan Aina dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 turut membuka ruang buat penyanyi tempatan memperkenalkan keunikan karya dan kemampuan muzik Malaysia kepada khalayak lebih luas.
Pentas kemuncak Eurovision Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok pada 14 November ini turut disertai peserta dari negara lain seperti Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.
The post PMX titip ucapan selamat maju jaya buat Aina Abdul appeared first on Utusan Malaysia.






