KLANG - Pembinaan bangunan baharu Maahad Tahfiz Istiqomatuddin di Kampung Sementa di sini yang sebelum ini terbengkalai sejak pandemik Covid-19 kini giat diteruskan bagi memastikan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dapat disediakan kepada pelajar tahfiz.
Pengurus Maahad, Faizah Hamid berkata, projek pembinaan bangunan tiga tingkat itu tergendala beberapa tahun lalu berikutan kekangan kewangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, pihak maahad kini berusaha meneruskan semula pembinaan secara berperingkat agar kemudahan tersebut dapat digunakan sepenuhnya oleh pelajar.
Maahad ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Pembinaan bangunan ini sebenarnya sudah lama dimulakan namun terhenti ketika PKP.
“Sekarang kami cuba sambung semula secara berperingkat supaya para pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan teratur,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3462066]**
Beliau berkata, maahad yang didirikan di atas tanah wakaf itu menawarkan pengajian hafazan al-Quran selain turut menyediakan pengajian diniyyah dan akademik asas kepada pelajar.
“Apabila siap sepenuhnya nanti, bangunan ini mampu menampung kira-kira 150 orang pelajar dan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan, surau, pejabat pentadbiran, bilik guru, kelas pengajian serta asrama pelajar.
“Turut disediakan bilik penginapan warden atau guru selain gelanggang futsal bagi aktiviti riadah pelajar,” katanya.
Menurut Faizah, beberapa kerja penting masih perlu disiapkan termasuk pemasangan sistem pendawaian elektrik, lampu dan kipas, pemasangan pengesan asap serta sistem keselamatan seperti pemercik air dan alat pemadam api.
Selain itu katanya, kerja-kerja melantai dan pemasangan mozek, pemasangan pemegang tangga, jeriji tingkap serta kerja mengecat bangunan juga masih dalam proses pelaksanaan.
“Bagi menyiapkan keseluruhan pembinaan ini, pihak maahad memerlukan dana kira-kira RM850,000.
“Maahad ini bergantung kepada yuran pelajar dan juga sumbangan orang ramai untuk menampung kos operasi serta pembangunan,” katanya.
Tambah beliau, usaha menyiapkan bangunan tersebut penting bagi memastikan kesinambungan pendidikan al-Quran dapat diperkasa serta melahirkan lebih ramai hufaz pada masa akan datang.
“Hasrat kami adalah menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada para pelajar supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada hafazan 30 juzuk al-Quran serta pengajian lain yang disediakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi membantu menyiapkan pembinaan maahad tersebut boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Islamic (Maahad Tahfiz Istiqomatuddin) 8606141131 atau menghubungi pihak maahad di talian 017-6202054.




