
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke final Terbuka Denmark selepas mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia mempamerkan aksi cemerlang untuk menundukkan pilihan utama itu menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-18 dalam aksi separuh akhir di SJF Bank Arena, Odense.
Kemenangan itu cukup bermakna buat pasangan negara yang kembali bergandingan selepas menjalani tempoh percubaan bersama pasangan lain bagi mencari kombinasi terbaik untuk menghadapi cabaran akan datang.
Aaron mengakui mereka kini lebih menikmati permainan di gelanggang selepas melalui tempoh bergandingan dengan pasangan berbeza, sekali gus membantu mengurangkan tekanan ketika beraksi.
“Kami lebih menikmati permainan sekarang dan mungkin tekanan tidak terlalu tinggi. Selepas berpisah seketika dan kembali bergandingan, saya rasa kami lebih seronok bermain,” katanya kepada BWF selepas perlawanan.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi kemenangan ke atas gandingan Korea Selatan itu selepas menyingkirkan mereka pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di India, Ogos lalu.
Keputusan terbaharu itu juga menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini kembali seimbang 3-3, sekali gus membuktikan kemampuan beregu negara untuk mencabar gandingan terbaik dunia.
Pada aksi final esok, Aaron-Wooi Yik bakal menentang sama ada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri bagi merebut gelaran juara. KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Denmark: Aaron-Wooi Yik singkir gandingan No. 1 dunia appeared first on Kosmo Online.






