
KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis apabila menempah slot ke suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Grand Paris sebentar tadi, gandingan No.31 dunia itu tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bermain sehingga set ketiga dalam tempoh 51 minit.
Pang Ron-Pei Jing terpaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui menerusi keputusan 21-13, 13-21, 21-17.
Pada perlawanan tersebut, pasangan negara bermula dengan langkah kanan apabila mendominasi set pertama dengan jurang mata cukup besar 16-10 sebelum berjaya mengutip kemenangan pertama 21-13.
Hasrat untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan straight-set bagaimanapun tidak kesampaian apabila Kuang Heng-Yin Hui bangkit menampilkan aksi lebih kemas untuk menang 21-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup seimbang selain tidak terpisah dengan jurang mata yang besar, namun Pang Ron-Pei Jing kekal fokus sebelum memastikan kemenangan 21-17.
Menjelang aksi suku akhir esok, Pang Ron-Pei Jing dijangka berdepan halangan sukar apabila perlu membuat perhitungan menentang pasangan Jerman, Marvin Seidel-Nguyen Thuc Puong.
Prestasi wakil Eropah itu pada saingan Jelajah Dunia Super 750 berkenaan berada di luar jangkaan selepas mereka mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 14-21, 22-20. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Perancis: Pang Ron-Pei Jing teruskan kemaraan appeared first on Kosmo Online.






