Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis perlu peranan lebih besar dalam rundingan strategik nadir bumi

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 3:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis perlu peranan lebih besar dalam rundingan strategik nadir bumi Image from: Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis perlu peranan lebih besar dalam rundingan strategik nadir bumi liza20/11/2026 - 15:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis perlu memperkukuh peranan dalam rundingan berkaitan sumber mineral strategik di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kepentingan negeri serta rakyat terus terpelihara.

 

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedudukan strategik empat negeri berkenaan semakin penting susulan peningkatan persaingan kuasa besar dunia mendapatkan sumber mineral, khususnya unsur nadir bumi (REE), yang menjadi keperluan utama industri dan teknologi moden.

 

Menurutnya, persaingan mendapatkan sumber mineral strategik itu bukan sekadar melibatkan kepentingan ekonomi, malah turut berkait dengan percaturan geopolitik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan negara-negara Barat.

 

“Perkembangan berkenaan menunjukkan kepentingan Malaysia menguruskan sumber mineral secara strategik supaya kekayaan hasil bumi negara dapat memberikan manfaat kepada negeri yang memilikinya.

 

Persaingan global tingkatkan kepentingan sumber mineral

“Keperluan negara Barat termasuk Perancis dan Amerika Syarikat terhadap bekalan mineral strategik semakin ketara bagi memenuhi permintaan industri serta teknologi masing-masing,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perasmian Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 dan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun di Terengganu.

 

Beliau turut mengaitkan lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia baru-baru ini dengan kepentingan sumber mineral strategik yang dimiliki negara, termasuk di negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu, Kelantan, Kedah & Perlis dakwa miliki 70% sumber REE negara, tuntut pembahagian hasil lebih adil

 

“Antara kepentingan utama lawatan Macron ke Malaysia adalah berkaitan usaha mendapatkan sumber mineral strategik, termasuk nadir bumi yang terdapat di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis,” katanya.

 

Penyelarasan kerajaan negeri dan Persekutuan penting

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal berpandangan kerajaan negeri yang mempunyai sumber mineral strategik perlu diberikan ruang lebih besar dalam perancangan serta rundingan berkaitan pembangunan industri berkenaan.

 

Menurutnya, penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan pengeluaran serta pembangunan sumber mineral mengambil kira kepentingan negeri dan rakyat setempat.

 

“Kedaulatan sumber kekayaan negeri Terengganu perlu dijamin oleh wakil-wakil dan pemimpin kita di Putrajaya. Kalau tidak, pihak lain akan menentukan nasib rakyat dan negeri kita,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang rundingan dan komitmen dengan negara asing, termasuk Amerika Syarikat, Perancis serta negara-negara Barat, perlu mengambil kira persetujuan kerajaan negeri dan kepentingan rakyat.

 

Katanya, pembangunan sumber mineral strategik perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya negeri yang memiliki sumber berkenaan, supaya manfaat ekonominya dapat dinikmati secara bersama.

 

Beliau berkata, penglibatan kerajaan negeri dalam proses membuat keputusan juga penting bagi memastikan sumber mineral negara diuruskan secara terancang dan tidak menjejaskan kepentingan jangka panjang negeri serta rakyat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved