Penutupan premis perniagaan dua jam di Terengganu tidak wajar dipolitikkan, DAP perlu hormati solat Jumaat

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 6:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penutupan premis perniagaan dua jam di Terengganu tidak wajar dipolitikkan, DAP perlu hormati solat Jumaat Image from: Penutupan premis perniagaan dua jam di Terengganu tidak wajar dipolitikkan, DAP perlu hormati solat Jumaat liza20/11/2026 - 18:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 20 Nov – Arahan penutupan sementara premis perniagaan selama dua jam bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat di Terengganu tidak seharusnya diperbesarkan sehingga mencetuskan polemik, memandangkan pelaksanaannya hanya melibatkan tempoh singkat setiap minggu.

 

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Farid Mohd Mumazaini berkata, kewajipan menunaikan solat Jumaat dalam kalangan lelaki Islam perlu dihormati semua pihak, termasuk pemimpin politik yang mewakili masyarakat majmuk di negara ini.

 

Katanya, pelaksanaan arahan itu merupakan langkah memberi ruang kepada umat Islam melaksanakan tuntutan agama dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan fahaman konservatif atau pengaruh politik tertentu.

 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mempertikaikan arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu.

 

Menurut Farid, tempoh penutupan selama dua jam itu perlu dilihat secara munasabah dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mempertikaikan pelaksanaan kewajipan agama.

 

Sudah dilaksanakan sejak zaman BN

Dasar penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat bukan perkara baharu, sebaliknya sudah dilaksanakan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Terengganu oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada tahun 2015.

 

Justeru, katanya, tindakan mengaitkan dasar berkenaan semata-mata dengan pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperlihatkan kegagalan memahami sejarah pelaksanaannya.

 

Malah, beliau mendakwa pelaksanaan peraturan itu tidak mendapat tentangan daripada masyarakat bukan Islam di Terengganu yang menghormati keperluan umat Islam menunaikan solat Jumaat.

 

Katanya, keadaan itu menunjukkan kepentingan saling menghormati dalam masyarakat majmuk, khususnya apabila sesuatu peraturan dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan agama.

 

Hormati sensitiviti agama

Dalam pada itu, Farid mengingatkan kepimpinan DAP supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

 

Beliau berkata, sebarang kebimbangan berkaitan pelaksanaan dasar boleh dibincangkan melalui saluran sewajarnya tanpa mempertikaikan kepentingan kewajipan agama.

 

Beliau turut menggesa kepimpinan DAP menegur kenyataan Khoo supaya isu berkenaan tidak terus mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

 

Menurutnya, perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperlekeh atau mempolitikkan tuntutan agama, sebaliknya hak dan kebebasan semua agama perlu dihormati.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved