Terengganu sasar kehadiran 8.5 juta pelancong tahun ini

LocalTravel
23 Apr 2025 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu sasar kehadiran 8.5 juta pelancong tahun ini

image is not available

23/04/2025 - 11:07

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan sasaran baharu untuk menarik 8.5 juta pelancong ke negeri itu sepanjang tahun 2025.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, pencapaian memberangsangkan tahun lalu menjadi pemangkin kepada peningkatan sasaran tersebut.

"Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Terengganu. Namun alhamdulillah, kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan.

"Bagi 2025, sasaran kita lebih tinggi iaitu 8.5 juta pelancong," katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Hotel Raia, baru-baru ini.

image is not available

Menurut beliau, meskipun Terengganu berdepan cabaran seperti musim Monsun Timur Laut dan beberapa destinasi pantai yang masih belum beroperasi sepenuhnya, negeri itu telah merekodkan kehadiran seramai 2.1 juta pelancong pada suku pertama tahun ini.

"Ini adalah petanda yang sangat positif. Namun, untuk memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak, Kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penggiat industri adalah amat penting.

"Acara Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan ini akan membuka ruang untuk kita mendengar secara langsung pandangan serta cadangan daripada para pemain industri, bagi tujuan penambahbaikan dan perancangan masa hadapan.

"Semoga industri pelancongan di negara kita terus maju dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat," katanya.- DagangNews.com

standard