
SEMAKIN bertambah usia, semakin banyak perkara yang dilihat dengan cara berbeza. Jika dahulu kebahagiaan mungkin diukur melalui apa yang berjaya dimiliki, kini kehadiran insan tersayang dan kesihatan yang baik menjadi antara nikmat paling besar untuk disyukuri.
Itu juga yang dirasai pelakon Fattah Amin ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-36 tahun baru-baru ini.
Lebih bermakna, sambutan hari istimewa itu diraikan dalam suasana sederhana tetapi penuh kemesraan apabila isterinya menyediakan kejutan bersama keluarga.
Majlis bertemakan rona putih itu turut diserikan dengan kehadiran anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya, serta bayi lelaki, Muhammad Jarir Umar yang wajahnya masih belum didedahkan kepada umum.

Ibu bapa dan ahli keluarga Fattah turut bersama-sama meraikan detik istimewa tersebut, menjadikan sambutan berkenaan lebih bermakna buat pelakon itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, memilih untuk melihat pertambahan usia sebagai ruang untuk lebih menghargai kehidupan dan memperbaiki diri.

“Alhamdulillah, bertambah satu lagi usia hari ini.
“Semakin dewasa, semakin saya belajar bahawa nikmat terbesar bukanlah apa yang kita miliki, tetapi siapa yang ALLAH hadirkan di sisi, kesihatan yang masih diberi dan peluang untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Fattah turut merakamkan penghargaan buat isterinya yang bersusah payah menyediakan kejutan sempena hari lahirnya.
“Terima kasih, isteri syurgaku, bersusah-payah surprise kan birthday hari ini bersama keluarga.
“I love you sampai syurga. Amin, Allahumma amin,” ujarnya.

Bagi Fattah, sambutan kali ini bukan sekadar meraikan pertambahan angka pada usia, tetapi menjadi satu lagi kesempatan untuk mensyukuri perjalanan hidup yang masih panjang.
Di sebalik kemeriahan bersama keluarga, bait-bait perkongsiannya memperlihatkan sisi seorang lelaki yang semakin menghargai perkara sederhana dalam hidup iaitu kesihatan, kesempatan untuk berubah dan insan yang sentiasa berada di sisi.






