
USAHAWAN dan pempengaruh Watie Hanifiah akhirnya berkongsi wajah puteri sulungnya, Akira Juwita Zahra kepada umum.
Berkongsi foto bersama sekitar majlis akikah Akira baru-baru ini, pemilik nama Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah itu menitipkan ucapan manis buat bayinya yang kini berusia sebulan iutu.
"Dear Anakku Akira Juwita Zahra, terima kasih kerana memilih mummy dan daddy sebagai orang tuamu.
"Tiada kata-kata yang dapat mummy dapat luahkan untuk mengambarkan betapa bersyukurnya mummy kepada ALLAH kerana sekali lagi diberi anugerah yang indah selepas keindahan pertama yang DIA beri sesudah berjodoh dengan daddy Akira," titip Watie.
Dalam hantaran di Instagram, dia berharap untuk melihat cahaya matanya menjadi penyambung kasih keluarga.
"Semoga Akira menjadi pengikat kasih antara mummy, daddy, kakak dan abang-abang Akira," kongsinya.
Sekadar info, Akira dilahirkan 6 April lalu di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
Watie yang berkahwin dengan Shuib pada 23 Jun 2023 terdahulu keguguran pada Mei 2025.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 15, Dzahira Talita Zahra, 13, Ariq Matin, 10, Ayash Affan, 5.
