
Terjumpa Diari Ibu, Gadis Sebak Baca Luahan Tentang Pemergian Arwah Kakaknya
Siapa kita untuk menolak ketentuan takdir. Setiap apa yang ada di dunia ini tidak akan kekal selamanya, termasuk orang-orang yang kita sayang.
Tiba masanya, kita perlu bersedia untuk menerima 'pemergian' mereka dari dunia ini buat selama-lamanya. Kelak, kita pula yang bakal menyusul.
Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya yang melalui sahaja yang akan faham rasa sunyi dan kosong apabila kehilangan orang tersayang.
Ada yang akan memendam rasa dan ada juga yang meluahkan rasa terbuku di hati kepada orang lain atau menerusi penulisan.
Seperti ibu kepada Fatin Hazwani yang menukilkan rasa pilunya dalam diari selepas kehilangan anak tercinta.
Menerusi perkongsian di TikTok, Fatin berkata dia tidak sengaja terbaca diari ibunya dan tidak menyangka menemukan luahan ibunya selama ini.

"Ya Allah berjurai air mata ni, sebak sangat. Segala benda yang ibu rasa ibu hanya mampu luah dalam sebuah buku.
"Seorang ibu yang melahirkan anaknya setelah 9 bulan dalam kandungan akhirnya pergi.
"Betapa rindunya seorang ibu kepada anaknya, kasih sayangnya yang takkan pernah pudar. Al-Fatihah untuk bidadari syurga kami," katanya di kapsyen.

Ketika ditemu bual SK, Fatin berkata arwah kakaknya meninggal dunia pada 28 November 2019 kerana menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Izzati dalam kenangan
"29.11.19. Anakanda Izzati telah pergi meninggalkan ibu buat selama-lamanya.
"Kau pergi di hari yang sangat-sangat dicemburui oleh semua orang iaitu hari Jumaat.
"Pergimu membawa sebuah keinginan yang tidak kesampaian iaitu peperiksaan SPM.
"Allah amat menyayangimu dari kami semua," antara nukilan di dalam diari tersebut.

"Betapa sayangnya ibu padamu, sayang lagi Allah padamu"


Menjengah ke ruangan komen, sudah tentu ramai yang juga tidak dapat menahan sebak melihat perkongsian itu.
"Berapa banyak perkataan sayang, redha dan doa yang disebut..Untungnya seorang Nurul Izzati. Al-fatihah"
"Ada kesan air mata menitik ketika tulis"


"Dia macam ni tau, macam kita duk luah dekat status FB semua tu. Tapi mak ayah kita nak luah mana? So dia tulis kat buku. Abah aku pun sama, dia cakap dia takde nanti baca la apa dia tulis. Tak sanggup weh"
Salam takziah buat Fatin sekeluarga, semoga Allah menempatkan arwah kakaknya dalam kalangan orang-orang yang beriman.


