
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (9 September) bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan dilihat hadir dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu serta bergari.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya memaklumkan pemakaian baju itu dan gari tersebut adalah atas kehendak sendiri, lapor Sinar Harian.
Peguam nafi Abdul Azeez pilih pakai baju lokap polis warna ungu dan bergari
Terbaharu peguam yang mewakili Abdul Azeez, Datuk Amer Hamzah Arshad menafikan kenyataan tersebut dan memaklumkan beliau tidak pernah memilih untuk hadir ke mahkamah dengan baju lokap tersebut serta tangan bergari.
Dakwa Amer Hamzah sebaliknya Abdul Azeez tidak diberikan peluang bagi menukar pakaiannya sebelum beliau dibawa menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dakwa terkejut dengan kenyataan SPRM
Peguam berkenaan turut memaklumkan mereka terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak SPRM.
“Pihak kami terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM bahawa anak guam kami memilih dan berkeras memakai baju lokap serta bergari.
“Kehadiran anak guam kami dengan berpakaian lokap ungu serta bergari ketika prosiding pertuduhan SPRM adalah mengikut keadaan dan pakaian sama ketika beliau dihadapkan untuk prosiding reman polis terdahulu,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Kenyataan Abdul Azeez pilih dalam berada dalam keadaan sedemikian tak tepat
Oleh itu peguam yang mewakili bekas Ahli Parlimen Baling itu memaklumkan mana-mana kenyataan yang mengatakan anak guamnya memilih untuk memakai baju lokap berwarna ungu dan bergari adalah tidak tepat serta memberikan gambar yang mengelirukan.
“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan anak guam kami di mahkamah pada hari ini, dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan terbabit.
“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini.”
SPRM dakwa sudah maklumkan pemakaian gari tidak diperlukan
Sebelum ini SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, Abdul Azeez sebelum di bawa ke mahkamah telah dinasihati oleh pegawai SPRM, pegawai polis yang mengiringinya untuk tukar kepada pakaian biasa.
Kata SPRM lagi, Abdul Azeez turut dimaklumkan pemakaian gari juga tidak diperlukan.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
“SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM,” jelasnya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN:
Abdul Azeez Mengaku Tak Bersalah Guna Kedudukan Untuk Jawatan & Pelaburan Berkaitan TH RM193.5j





