
GEORGE TOWN: Keluarga Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, terus menaruh harapan agar anak mereka yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Langtang Valley, Nepal ditemukan dalam keadaan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan berkata, perkara itu dimaklumkan ketika dia berkesempatan mengunjungi keluarga tersebut di rumah mereka di Taman Tun Sardon di sini, hari ini.
Menurutnya, Muhaimin sepatutnya sudah pulang ke Malaysia pada Isnin lalu, namun sehingga kini, keluarga pemuda itu masih belum menerima sebarang khabar mengenai keberadaannya.
”Saya tidak dapat bayangkan betapa beratnya hati sebuah keluarga yang setiap hari menunggu khabar tentang anak mereka. Benarlah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
”Kita masih ada harapan lagi. Kita harap keluarga akan tabah dan kita akan buat yang terbaik untuk membantu keluarga ini,” katanya.
Selain Connie, turut serta dalam kunjungan singkat itu ialah Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.
Menurut beliau, adalah penting untuk semua pihak mendoakan agar Muhaimin serta rakyat Malaysia lain yang masih belum dapat dihubungi berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Keadaan keluarga Muhaimin turut menjadi perhatian berikutan bapanya mempunyai masalah kesihatan, selain ibu mangsa dilihat sangat terkesan dengan kejadian berkenaan.
”Jadi, saya turut sumbangkan sedikit barangan asas seperti susu dan barangan keperluan lain.
”Kita akan sentiasa berhubung dengan keluarga. Pusat Khidmat Keadilan (PKK) juga ada dan saya sudah beritahu sekiranya mereka memerlukan apa-apa bantuan, boleh terus menghubungi saya atau pejabat,” katanya.
Muhammad Muhaimin bersama Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29 dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – UTUSAN
The post Tragedi Nepal: Keluarga harap Muhaimin ditemukan selamat appeared first on Utusan Malaysia.






