Terlepas penerbangan, kemelut dalaman punca Tenxi gagal hadir SoundCircus 2026

LocalMusic
2 Aug 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terlepas penerbangan, kemelut dalaman punca Tenxi gagal hadir SoundCircus 2026

PETALING JAYA: Kegagalan artis Indonesia, Tenxi untuk membuat persembahan pada hari pertama festival SoundCircus 2026 berpunca daripada masalah dalaman pengurusan artis itu selain terlepas penerbangan yang telah dijadualkan.

Menurut penganjur festival berkenaan, Art of Speed (AOS),pihaknya turut berasa kesal dengan perkara yang terjadi walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan penyanyi Garam & Madu itu dapat hadir menghiburkan peminat.

Tenxi dilaporkan terlepas penerbangan awal yang telah ditempah, selain berlaku perselisihan faham dalam kalangan pasukan pengurusan dalaman artis berkenaan sehingga menimbulkan keadaan di luar kawalan pihak penganjur.

“Artis berkenaan dilaporkan terlepas penerbangan awal yang telah ditempah. Selain itu, berlaku perselisihan faham dalam kalangan pasukan dalaman mereka yang membawa kepada keadaan di luar kawalan kami.

“Pada masa sama, kru teknikal mereka sebenarnya sudah berada di Malaysia dan selesai menjalani ujian bunyi (sound check) di pentas utama,” menurut kenyataan itu.

Tambah AOS, pihaknya turut menawarkan penyelesaian dengan bersetuju menanggung kos tiket penerbangan baharu berdasarkan jadual waktu yang diminta oleh pihak Tenxi.

Bagaimanapun, sehingga saat akhir, tiada pengesahan diterima daripada pihak artis berkenaan menyebabkan tempoh masa yang ada tidak lagi mencukupi untuk membawa mereka ke Malaysia.

“Kami telah mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan pengalaman festival yang lancar buat semua pengunjung.

“Kami amat kesal dengan situasi ini yang memberi kesan kepada semua pihak di AOS-SoundCircus, khususnya para pengunjung yang hadir,” jelas kenyataan tersebut.

Pihak AOS turut memohon maaf secara terbuka dan berharap para pengunjung dapat terus menikmati kemeriahan hari kedua festival berkenaan seperti yang telah dirancang.

Dalam pada itu, penganjur menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh mutu penganjuran AOS dan SoundCircus Festival (SCF) pada masa akan datang.

Terdahulu, pembatalan persembahan Tenxi pada saat akhir mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas perkara itu tular di media sosial. -UTUSAN

The post Terlepas penerbangan, kemelut dalaman punca Tenxi gagal hadir SoundCircus 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved