Terlupa, guna sekali-sekala antara alasan tak bayar cukai jalan kereta mewah

LocalCars
22 May 2026 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terlupa, guna sekali-sekala antara alasan tak bayar cukai jalan kereta mewah
Zulkifly (kanan) menunjukkan Ford Mustang yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak tahun 2022.
Image from: Terlupa, guna sekali-sekala antara alasan tak bayar cukai jalan kereta mewah
Pelbagai jenis kenderaan mewah disita dalam Ops Luxury yang dijalankan sejak tahun lalu di seluruh Pulau Pinang.
Image from: Terlupa, guna sekali-sekala antara alasan tak bayar cukai jalan kereta mewah
Zulkifly (kanan) menunjukkan sebuah kereta BMX yang disita kerana gagal memperbaharui cukai jalan.

SEBERANG JAYA - Terlupa atau kenderaan hanya digunakan sekali-sekala antara alasan yang digunakan pemilik kenderaan mewah ketika mereka ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didapati gagal memperbaharui cukai jalan.

Dalam Ops Luxury yang dijalankan di seluruh negeri sejak tahun lalu, JPJ Pulau Pinang telah menyita pelbagai kenderaan mewah antaranya Jaguar, BMW, Ford Mustang, Porsche dan Mercedes-Benz.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pihaknya memandang serius sikap segelintir pemilik kenderaan mewah yang masih gagal memperbaharui cukai jalan meskipun menggunakan kenderaan tersebut di atas jalan raya.

Menurutnya, setiap kenderaan yang digunakan di jalan raya wajib mempunyai lesen kenderaan motor (LKM) yang sah tanpa mengira kekerapan penggunaannya.

“Alasan yang diberikan macam-macam antaranya terlupa dan kenderaan hanya digunakan sekali-sekala.

“Namun alasan begitu tidak boleh diterima kerana walaupun jarang digunakan, setiap kenderaan tetap perlu memiliki lesen kenderaan motor yang sah mengikut peraturan sedia ada,” katanya pada sidang media di Ibupejabat JPJ di sini pada Jumaat.

**media[3529230]**

Beliau berkata, sepanjang Jun hingga 31 Disember 2025, sebanyak 73 kenderaan mewah telah disita dalam operasi berkenaan.

Dalam tempoh itu katanya, ketirisan hasil kerajaan akibat kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan dianggarkan sebanyak RM88,000.

"Bagi tempoh Januari hingga 21 Mei tahun ini pula, sebanyak 51 kenderaan telah disita melibatkan 124 tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Bagi tempoh itu, jumlah ketirisan hasil kerajaan direkodkan sebanyak RM174,000 akibat kegagalan pemilik kenderaan mewah memperbaharui cukai jalan,” katanya.

Beliau berkata, hasil penguatkuasaan dijalankan mendapati terdapat kenderaan yang tidak memperbaharui LKM sehingga lima hingga enam tahun.

“Antara yang dikesan ialah sebuah BMW yang tamat tempoh cukai jalan sejak tahun 2020 lagi dan sebuah Jaguar sejak 2021.

“Kita dapati ada pemilik mengambil kesempatan untuk terus menggunakan kenderaan walaupun sudah disenarai hitam,” katanya.

Beliau berkata, sebuah Ford Mustang turut dikesan gagal memperbaharui cukai jalan sejak 2022 dengan kadar cukai jalan tahunan mencecah RM10,900.

**media[3529233]**

Menurutnya, model BMW, Mercedes-Benz dan Toyota antara paling banyak disita dalam operasi berkenaan.

“Secara keseluruhan, nilai kenderaan yang disita bermula Januari hingga 21 Mei lalu dianggarkan mencecah RM14 juta.

“Kebanyakan pemilik terdiri daripada golongan VVIP dan ahli perniagaan, namun setakat ini tiada ahli politik dikenal pasti terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifly berkata, tiada pemilik yang dikesan melakukan kesalahan berulang selepas tindakan penguatkuasaan diambil tahun lalu.

“Yang ditahan tahun lalu kebanyakannya sudah memperbaharui cukai jalan masing-masing,” katanya.