Terpaksa Mengharungi Jalan Becak & Berselut Untuk Sampai Ke Sekolah, Murid SK Magandai Jadi Perhatian

21 Jan 2024 • 11:05 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini tular di pelbagai aplikasi media sosial tentang kecekalan beberapa orang murid sekolah rendah Sekolah Kebangsaan Magandai, Kota Marudu di Sabah apabila mereka terpaksa mengharungi jalan yang berlecak dan berselut untuk sampai ke sekolah.

Memetik laporan Daily Express Malaysia, murid-murid itu telah mengharungi jalan berlecak itu pada 13 Januari lalu selepas hujan lebat menyebabkan jalan berkenaan berselut.

Difahamkan, jalan berlumpur itu juga telah menyukarkan kenderaan 4×4 untuk melaluinya.

Memetik laporan Berita Harian, murid-murid itu pada awalnya telah menumpang kereta guru mereka yang turut dalam perjalanan ke sekolah tapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila kenderaan guru yang mereka tumpangi tersebut tiba-tiba rosak ketika dalam perjalanan.

Kenderaan yang rosak itu kemudiannya memaksa mereka untuk meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki untuk sampai ke sekolah.

image is not available

Murid-murid itu juga turut membawa sedikit bekalan makanan dan peralatan sekolah dalam perjalanan itu.

Difahamkan juga, murid-murid dan dua guru tersebut tidak berjaya untuk sampai ke sekolah dalam hari yang sama kerana hujan lebat.

Kesemua mereka kemudiannya terpaksa bermalam di pondok kebun penduduk di kawasan Magandai.

image is not available

Guru tersebut yang dikenali sebagai Moniq Cfrndz mengatakan beliau berharap agar jalan untuk ke Sekolah Kebangsaan Magandai itu segera diperbaiki agar memudahkan penduduk dan murid sekolah keluar masuk.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.