
BATU KAWAN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 bilion di bawah inisiatif ‘Power Up 10K’ kepada kira-kira 270,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 6,000 usahawan adalah dari Pulau Pinang dengan peruntukan yang disalurkan bagi tempoh yang sama adalah berjumlah hampir RM760 juta.
“Matlamat KUSKOP pada tahun ini ialah kita mahu salurkan sehingga RM15 bilion peruntukan untuk sektor PMKS dan sehingga kini, kita telah berjaya salurkan sebanyak RM10 bilion kepada usahawan-usahawan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 edisi Pulau Pinang yang berlangsung di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan di sini, hari ini.
Sementara itu, Steven berkata, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh sokongan kepada PMKS, KUSKOP telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar peningkatan dana serta pengurangan kos ketika menjalankan perniagaan dipertimbang untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2027 nanti.
“Prinsip yang KUSKOP cuba sampaikan kepada MOF ialah untuk mendapatkan dana yang lebih besar untuk sektor PMKS dan koperasi.
“Dalam hal ini, kalau kita tidak boleh kawal harga minyak global, sekurang-kurangnya kita boleh kawal kos setempat termasuk proses kerajaan, tempoh pemprosesan, yuran dan sebagainya untuk membantu usahawan PMKS,” katanya.-UTUSAN
The post KUSKOP salur RM10b kepada 270,000 usahawan PMKS sehingga Ogos appeared first on Utusan Malaysia.






