
SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mengemukakan cadangan supaya peruntukan lebih besar disediakan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, cadangan itu antara input yang telah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi penyediaan Belanjawan 2027.
Katanya, selain dana lebih besar, Kuskop turut mencadangkan langkah mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Prinsip untuk Kuskop yang kita sampaikan kepada MOF iaitu dana yang lebih besar ataupun lebih banyak untuk PMKS dan koperasi. Keduanya, kos membuat, kos perniagaan yang lebih rendah.
“Kalau kita tak boleh kawal contohnya harga minyak global, sekurang-kurangnya kita boleh kawal kos tempat,” katanya pada sidang media sempena program Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia anjuran Kuskop di Stadium Batu Kawan, di sini, hari ini.
Menurut Steven, antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan kos perniagaan ialah memudahkan proses kerajaan, memendekkan tempoh pemprosesan serta mengurangkan yuran dan fi berkaitan.
“Contohnya macam mana proses kerajaan kena mudah, jangan lengah-lengahkan, kena singkatkan waktu perprosesan, yuran, fee, masuk cukai sekali, kalau boleh kita kurangkan supaya khususnya PMKS, kita tak cakap pasal perniagaan MNC besar-besar, ini PMKS kita supaya mereka boleh bernafas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bajet 2027: Kuskop mohon dana lebih besar untuk PMKS appeared first on Kosmo Online.





