
Sebelum ini, antara kelebihan yang dinikmati pemilik Tesla di Malaysia ialah pengecasan AC secara percuma di rangkaian Tesla Destination Charger. Namun selepas hampir tiga tahun, kemudahan tersebut kini tidak lagi ditawarkan.
Bermula hari ini, pemilik Tesla perlu membayar RM0.88 bagi setiap kWh untuk menggunakan Tesla Destination Charger di Malaysia.
Kadar RM0.88/kWh ini nampaknya dikenakan di semua lokasi Tesla Destination Charger di Malaysia.
Walaupun sudah tidak lagi percuma, kadar tersebut masih lebih rendah berbanding harga kebanyakan pengecas AC 11kW, yang biasanya mengenakan caj sekitar RM1.00 hingga RM1.10/kWh.
Bagi mereka yang memerlukan pengecasan lebih pantas, anda boleh gunakan pengecasan DC Tesla Supercharger. Walaupun kadar pengecasannya sedikit lebih mahal, caj yang dikenakan ketika waktu luar puncak (off-peak) boleh menjadi lebih rendah daripada RM1.00/kWh.

Pilihan yang paling jimat adalah dengan mengecas di rumah. Pengguna hanya perlu membayar tarif elektrik domestik TNB, yang secara puratanya sekitar RM0.50/kWh, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik bulanan.
Memandangkan Tesla Destination Charger kini tidak lagi percuma, langkah ini dijangka membantu mengurangkan situasi pengecas digunakan terlalu lama oleh sesetengah pengguna. Ini sekali gus membolehkan lebih ramai pemilik Tesla yang betul-betul memerlukan pengecasan menggunakan kemudahan tersebut.
Seperti biasa, pengguna juga diingatkan supaya mengalihkan kenderaan sebaik sahaja pengecasan selesai. Jika tidak, ia akan menyukarkan pengguna lain yang sedang menunggu untuk mengecas.
Setakat ini, Tesla Malaysia mempunyai 75 Tesla Destination Charger yang ditempatkan di 18 lokasi di seluruh negara.





