Tetak peneroka: Suspek didakwa mempunyai masalah mental

27 Oct 2026 • 1:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tetak peneroka: Suspek didakwa mempunyai masalah mental

KOTA TINGGI: Suspek yang dipercayai terlibat menyerang seorang peneroka di Felda Lok Heng Selatan, di sini sehingga maut malam tadi dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Kakak kepada suspek bagaimanapun berkata, kali terakhir adiknya mendapatkan rawatan dan mengambil ubat berkaitan penyakit mental adalah kira-kira lapan tahun lalu.

Menurutnya, adik lelakinya itu juga pernah dirujuk kepada Persatuan Pengasih Johor Bahru kerana masalah berkaitan dadah.

“Selepas meninggalkan pusat itu, dia berdepan kesukaran untuk berada di rumah. Dia kerap alami halusinasi dan pernah juga meminta untuk dihantar ke sekolah tahfiz sebelum dirujuk ke Hospital Tampoi.

“Pihak hospital mendapati halusinasi dan masalah mental dihadapi berpunca daripada pengambilan bahan terlarang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah wanita itu, pihak hospital ada menyediakan ubat kepada suspek, namun adiknya hanya mengambil ubat tersebut selama dua bulan sebelum berhenti terus.

“Dia orang yang baik, tidak ganggu orang lain dan banyak melakukan kerja-kerja kampung untuk mencari duit belanja.

“Sejak mak dan ayah meninggal dia duduk seorang diri di rumah. Dahulu saya duduk bersama tetapi sekarang kami menyewa kediaman lain, manakala dia tinggal di rumah pusaka.

“Tetapi jika ada apa-apa perkara, termasuklah untuk makan memang dia akan datang mencari saya,” katanya lanjut.

Sementara itu, mengulas tentang kejadian berkenaan, wanita itu memberitahu dia hanya mendapat tahu perkhabaran itu selepas melihat penduduk setempat mula berkumpul di lokasi kejadian.

“Saya yakin dia tidak akan lari jauh daripada kawasan Felda ini, memang betul apabila dia sudah berjaya ditangkap polis di kawasan kebun berhampiran,” katanya.

Semalam, tular di media sosial melibatkan kejadian seorang peneroka Felda maut dipercayai ditetak menggunakan kapak di kawasan berkenaan.-UTUSAN

The post Tetak peneroka: Suspek didakwa mempunyai masalah mental appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved