TH Plantations tolak rayuan bekas CEO berhubung penamatan kontrak

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2025 • 6:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TH Plantations tolak rayuan bekas CEO berhubung penamatan kontrak

image is not available

18/09/2025 - 18:43

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – TH Plantations Bhd mengesahkan Lembaga Pengarah syarikat telah menolak rayuan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berhubung penamatan kontrak perkhidmatannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TH Plantations berkata, syarikat telah meneliti surat rayuan yang dikemukakan oleh Zainurin sebelum membuat keputusan.

“Selepas melalui proses sewajarnya dan pertimbangan teliti, syarikat memutuskan untuk tidak menerima rayuan tersebut.

"Surat rasmi berhubung perkara ini telah dihantar kepada beliau pada hari ini,” kata TH Plantations.

Semalam, Mohamed Zainurin memfailkan aduan pemecatan tidak adil di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tindakan itu diambil selepas segala proses dalaman untuk mencabar tindakan penamatannya tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya, Peguambela & Peguamcara Marwan Abdullah, Zainurin memfailkan aduan itu di bawah Seksyen 20(1), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bagi menuntut pelantikan semula beliau sebagai CEO TH Plantations.

TH Plantations cabang perladangan Lembaga Tabung Haji, menamatkan kontrak Zainurin pada 26 Ogos lalu, atas alasan salah laku.

Langkah itu susulan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan pada Julai lalu kepada Zainurin serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Marliyana Omar, berhubung dakwaan pembayaran tidak sah berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.- DagangNews.com

standard