
BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand berikrar merampas aset lebih AS$1 bilion (RM4.07 bilion) milik sebuah kumpulan yang dituduh mengubah hasil wang haram daripada sindiket-sindiket penipuan berpusat di Asia Tenggara.
Sebuah mahkamah jenayah mengeluarkan waran tangkap terhadap ketua kumpulan itu, Ben Smith dari Afrika Selatan, isterinya Cattaliya Beevor yang merupakan warga tempatan, ahli perniagaan Kemboja, Yim Leak dan empat yang lain, kata polis.
Laporan media mengaitkan Smith yang juga dikenali sebagai Benjamin Mauerberger, dengan operasi penipuan rentas sempadan di Kemboja.
Yim Leak tergolong dalam keluarga elit politik dan abang kepada seorang pegawai kanan polis Kemboja.
“Smith, Cattaliya, Yim Leak dan tiga yang lain melarikan diri dari Thailand,” kata Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thai dalam satu kenyataan.
Pegawai pencegahan pengubahan wang haram dan pengawal selia sekuriti Thailand memberitahu pemberita kelmarin bahawa wang hasil aktiviti penipuan dipindahkan oleh kumpulan itu melalui firma kewangan luar negara sebelum digunakan untuk urus niaga saham di bursa saham Thailand.
Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) akan merampas aset termasuk saham bernilai lebih 14 bilion baht (RM1.7 bilion), hartanah, wang tunai dan kenderaan bernilai 21 bilion baht (RM2.5 bilion) yang keseluruhannya berjumlah lebih AS$1 bilion, kata polis dalam satu kenyataan.
“Rampasan merangkumi saham dalam firma-firma utama Thailand, termasuk Bangchak iaitu salah satu syarikat penapis minyak terbesar di negara ini,” kata timbalan ketua AMLO Kamonsit Wongbutnoi.
Bangchak dalam satu kenyataan berkata, rampasan aset tersebut membabitkan pelabur individu dan tidak menjejaskan operasi perniagaannya.
“Aset yang dirampas akan digunakan untuk membayar ganti rugi kepada mangsa penipuan dalam talian,” kata Kamonsit kepada pemberita.
Lanny Davis yang merupakan jurucakap Yim Leak bagaimanapun berkata, tuduhan terhadap ahli perniagaan Kemboja itu ‘100 peratus palsu’.
“Tiada sedikit pun kebenaran beliau pernah terlibat dalam operasi penipuan di Thailand, Kemboja atau di mana-mana sahaja,” kata Davis kepada AFP.
Menurutnya, Yim Leak menafikan pertuduhan dan mencabar kerajaan Thailand untuk mengemukakan ‘sebarang bukti mengenai pengetahuan atau penglibatannya’ dalam aktiviti penipuan.
Kenyataan bertarikh 8 Oktober lalu yang dikeluarkan oleh peguam Yim Leak menuduh pegawai Thailand menjalankan perbicaraan melalui media terhadapnya sebelum beliau dituduh secara rasmi.
Thailand membekukan aset lebih AS$600 juta (RM6.4 bilion), termasuk milik keluarganya tanpa pendengaran di mahkamah.
Peguam Smith, Witoon Kengngan pula enggan mengulas kes tersebut ketika dihubungi semalam.
Februari lalu, pihak berkuasa Thailand mengarahkan rampasan aset bernilai lebih AS$410 juta (RM1.6 bilion) daripada Smith dan individu lain yang dituduh melakukan penipuan. – AFP
The post Thailand akan rampas aset ‘scammer’ lebih RM4 bilion appeared first on Kosmo Online.






