
PETALING JAYA – Helikopter BO-105 dinaiki lima individu termasuk juruterbang yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Miri, Sarawak semalam tidak dilengkapi perakam suara dan kotak hitam (black box).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihak berkuasa setakat ini tidak mempunyai maklumat berhubung kemungkinan wujud panggilan kecemasan yang dibuat juruterbang sebelum kejadian.
Bagaimanapun, Bahagian Siasatan Kemalangan Udara akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta bagaimana kemalangan itu berlaku.
“Setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima pihak APC berhubung kejadian berkenaan.
“Sebaliknya, maklumat awal mengenai kejadian diperoleh daripada penduduk kampung sebelum pasukan berkaitan menjalankan siasatan di lokasi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, siasatan lanjut merangkumi pemeriksaan di lokasi kejadian selain pengumpulan maklumat dan bukti berkaitan bagi membantu pihak berkuasa menentukan punca sebenar kemalangan. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada ‘black box’ dalam helikopter terhempas di Sarawak appeared first on Kosmo Online.






