
KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan menghalang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin parti itu jika terlibat dalam apa jua salah laku.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang siasatan termasuk membabitkan pemimpin kanan parti perlu dilakukan secara adil dan telus.
“Saya belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara itu. Namun pendirian kita ialah jika terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan, kita tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan SPRM dalam melaksanakan pendakwaan.
“Kebiasaannya sebelum pendakwaan dilakukan, ia bermula dengan siasatan. Siasatan itu mesti dijalankan secara adil dan telus,” katanya ketika ditemui di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan seorang lagi pemimpin kanan UMNO mungkin dipanggil SPRM minggu depan bagi membantu siasatan berkaitan isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pemimpin berkenaan dilaporkan memegang jawatan kanan dalam UMNO dikatakan diberikan masa untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sebelum dipanggil membantu siasatan agensi antirasuah berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada halangan untuk SPRM siasat pemimpin UMNO – Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Online.






