
PETALING JAYA – Ketiadaan amaran hujan dikeluarkan di sekitar Lembah Klang petang ini dijangka tidak membantu memperbaiki keadaan jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di sekitar ibu negara dan Selangor ketika ini.
Ini kerana berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi, hujan lebat dan ribut petir hanya berlaku di beberapa kawasan di enam negeri termasuk Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Sarawak sehingga pukul 5 petang.
Di Perlis, amaran membabitkan seluruh negeri manakala di Kedah melibatkan Baling, Kulim, Kubang Pasu dan Sik.
Di Perak pula, kawasan yang terlibat ialah Hulu Perak, Selama, Larut Matang, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
Amaran sama turut melibatkan Rompin dan Bera di Pahang.
Sementara itu, di Johor, kawasan terlibat ialah Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Pontian, Muar dan Tangkak.
Di Sarawak pula, amaran dikeluarkan bagi Sri Aman dan Betong.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada di kawasan yang terlibat sepanjang tempoh amaran.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan berada di kawasan lapang serta tidak berlindung di bawah pokok ketika berlaku ribut petir.-KOSMO! ONLINE
The post Tiada hujan di Lembah Klang petang ini, sukar kurangkan jerebu appeared first on Kosmo Online.






