Tiada isian berulang dalam sehari, elak penyalahgunaan subsidi petrol bersasar - Menteri Kewangan II

LocalPolitics
23 Sep 2025 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada isian berulang dalam sehari, elak penyalahgunaan subsidi petrol bersasar - Menteri Kewangan II

image is not available

23/09/2025 - 14:25

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept – Kerajaan akan memperkenalkan langkah kawalan lebih ketat bagi memastikan subsidi petrol RON95 bersasar benar-benar dinikmati oleh penerima yang layak.

Mekanisme baharu itu termasuk sekatan terhadap pengisian berulang dalam masa satu hari untuk menutup ruang kepada penyalahgunaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kawalan tersebut akan dilaksanakan untuk memastikan program BUDI95 yang akan bermula 30 September ini mencapai matlamatnya.

“Mekanisme ini tidak akan membenarkan isian berulang dalam sehari. Perinciannya akan kita umumkan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mega e-Invoice Roadshow 2025 hari ini.

Tambahnya, Kementerian Kewangan sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta syarikat minyak bagi membangunkan sistem pemantauan menyeluruh.

Sistem tersebut bukan sahaja mampu menjejak corak pembelian petrol tetapi juga mengesan transaksi mencurigakan yang berpotensi menimbulkan ketirisan.

“Ini penting bagi melindungi sumber kerajaan. Subsidi adalah peruntukan besar, jadi ia mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya.

Di bawah skim tersebut, semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.

Bagi pemandu e-hailing dan p-hailing pula, mereka boleh memohon kuota tambahan tertakluk kepada pengesahan syarikat masing-masing.

Amir Hamzah berkata, sistem itu juga akan membuat semakan silang dengan platform e-hailing untuk mengesahkan permohonan tambahan itu benar-benar datang daripada pemandu yang aktif.

Selain itu, warga asing tidak layak menikmati subsidi berkenaan, malah penguat kuasa akan ditempatkan di stesen minyak bagi memastikan pematuhan sejak hari pertama pelaksanaannya nanti.

Ditanya mengenai persiapan pula, beliau berkata, semua syarikat minyak telah menaik taraf pam dan sistem kaunter sejak akhir tahun lalu dan bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan program tersebut.

“Semua pihak telah mengesahkan kesiapsiagaan. Sistem mereka kini aktif dan sedia digunakan,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan orang ramai supaya bersabar sekiranya berlaku sedikit gangguan teknikal pada peringkat awal pelaksanaan kerana ia membabitkan ribuan stesen minyak di seluruh negara.

“Ini adalah pelaksanaan berskala nasional. Jadi mungkin ada masalah kecil pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, mekanisme kawalan telah disediakan bagi menjamin ia dilaksanakan secara adil untuk semua pengguna,” katanya. - DagangNews.com

standard