
AUSTIN: George Russell mengakui gagal mengenal pasti punca prestasi hambarnya selepas menamatkan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tempat kelapan, semalam.
Pelumba Britain itu memulakan perlumbaan di tempat keenam di Litar Americas tetapi dikenakan penalti lima saat susulan insiden dengan pelumba McLaren, Oscar Piastri.
Russell berkata, dia tidak mempunyai jawapan terhadap prestasinya yang kurang memuaskan dan mengakui gagal mempamerkan kelajuan yang diperlukan.
“Saya perlu memahami puncanya kerana agak pelik apabila prestasi saya jauh ketinggalan. Saya berharap dapat menemui jawapannya tetapi buat masa ini saya sendiri tidak tahu,” katanya.
Mengulas prestasinya, Russell berkata kelajuannya kurang memuaskan pada peringkat awal perlumbaan.
Katanya, dia mampu menyaingi catatan masa Antonelli selepas menukar kepada tayar keras.
“Kelajuan saya tidak begitu baik pada peringkat awal perlumbaan. Namun, selepas keluar dari pit menggunakan tayar keras, saya mampu mencatat masa sepusingan yang hampir sama dengan Kimi selama kira-kira enam pusingan.
“Selepas menghampiri Oscar, saya gagal memintasnya. Saya hanya mencatat enam pusingan yang baik, manakala 50 pusingan lain tidak memuaskan. Saya mahu memahami mengapa kelajuan saya begitu rendah pada peringkat awal,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata Russell tetap seorang pelumba berkaliber tinggi walaupun prestasinya tidak konsisten musim ini.
“Bagi kami semua dalam pasukan, George ialah seorang juara yang sudah memenangi perlumbaan dalam setiap kategori. Dia layak dianggap antara pelumba terbaik, seperti yang dibuktikannya tahun lalu.
“Apabila jentera berada dalam keadaan yang sesuai dengannya, George mampu memandu dengan sangat pantas. Namun, apabila keadaan itu berubah, dia bergelut, malah lebih sukar berbanding Kimi,” katanya. – AGENSI
The post Tiada jawapan terhadap prestasi saya yang hambar – Russell appeared first on Utusan Malaysia.






