DENGKIL – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Tenaga Atom menegaskan, tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal yang boleh dikaitkan dengan dakwaan kewujudan kluster kanser di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Penegasan itu dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut kenyataan MOSTI, siasatan tersebut dilaksanakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 (Akta 1779) yang menetapkan bidang kuasa kawal selia bahan radioaktif serta sumber sinaran.
“Bagi maksud perubatan, pihak berkuasa perlesenan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada Isnin.
Ujar MOSTI, hasil siasatan BKRP mendapati tiada sebarang isu keselamatan sinaran yang berada pada tahap kritikal atau boleh dikaitkan dengan dakwaan berlakunya kluster kanser di unit berkenaan.
“Tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Atom Malaysia dan BKRP menegaskan bahawa aspek keselamatan pekerja sinaran serta orang awam sentiasa berada dalam pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Dalam masa sama, kedua-dua agensi itu turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana individu atau pemegang lesen gagal mematuhi Akta 304, peraturan serta syarat lesen ditetapkan.
Kenyataan itu hadir ketika isu dakwaan kluster kanser di fasiliti perubatan berkenaan mencetuskan kebimbangan awam, khususnya berkaitan penggunaan teknologi sinaran dalam rawatan dan diagnosis perubatan.
Terdahulu, bekas juru X-ray di PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak mendakwa, berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.
Nur Fauzia yang kini disahkan menghidap Kanser Hodgkin's Lymphoma tahap empat berkata, dia terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi.
Dakwanya lagi, peningkatan kes penyakit dalam kalangan kakitangan mula dikesan selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Menara Selatan PPUM beberapa tahun lalu.
Sehingga kini tiga staf disahkan menghidap kanser paru-paru, kanser darah dan kanser payu dara manakala empat lagi mengalami masalah tiroid.



