Tiada layanan istimewa terhadap penganjur RXZ Members 8.0 - Polis

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada layanan istimewa terhadap penganjur RXZ Members 8.0 - Polis
Mohd Khairi (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pasukan keselamatan itu memberikan layanan istimewa kepada penganjur mahupun peserta perhimpunan RXZ Members 8.0.

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menegaskan, PDRM kekal profesional dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang sepanjang penganjuran program berkenaan.

​"Dakwaan kata polis beri 'special treatment' kepada peserta, saya rasa tidak.

"Kalau mereka dapat 'special treatment', kita takkan buat apa-apa tapi mungkin penganjur rasa bertanggungjawab untuk membantu, itu atas dasar keprihatinan dialah.

​"Bagi kita PDRM, kita menjalankan tugas untuk memastikan keamanan di lokasi dan mengambil tindakan jika berlaku sebarang pelanggaran atau kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh peserta RXZ Members.

"Kita buktikan apabila kita tangkap, tahan, dan keluarkan saman. Jadi, saya menolak andaian tersebut," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan penganjur RXZ Members 8.0 mendapat layanan istimewa ketika membantu peserta himpunan motosikal itu menguruskan motosikal yang disita.

Sementara itu, ​mengulas mengenai peningkatan kes kemalangan sepanjang perhimpunan tersebut, Mohd Khairi menjelaskan bahawa faktor peratusan jumlah kehadiran berbanding tahun-tahun sebelum ini perlu diambil kira.

​Menurut beliau, sebarang penganjuran acara berskala besar di negara ini memang tidak dapat dielakkan daripada risiko berlaku kecelakaan, namun pihak polis sentiasa konsisten menjalankan tindakan penguatkuasaan.

​"Sejak dari awal lagi kita dah ingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan rehat yang cukup, motosikal diselenggara dengan baik, serta mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Sebagai agensi yang bertanggungjawab, kita telah jalankan tanggungjawab kita.

​"Kita lihat kemalangan maut yang berlaku adalah disebabkan kecuaian pengguna itu sendiri, contohnya tidak cukup tidur, hilang kawalan, atau tidak fokus," katanya.

​Tambah beliau, siasatan turut mendapati insiden terbabit bukan berpunca daripada aktiviti perlumbaan haram.

​"Ada juga satu kes tayar meletup, sedangkan kita dah ingatkan supaya pastikan keadaan kenderaan baik.

"Lagipun, tiada kejadian yang berlaku disebabkan berlumba, sebaliknya atas kecuaian sendiri seperti hilang kawalan atau tertidur," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved