Tiada niat untuk menghina agama lain – Norazli Said

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 5:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada niat untuk menghina agama lain – Norazli Said

PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said bersedia memohon maaf sekiranya ucapan berkaitan paderi dan biarawati ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kisah yang dikongsikannya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO itu sama sekali tidak bertujuan menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.

Noorazli berkata, beliau mengambil maklum terhadap reaksi dan pandangan pelbagai pihak berhubung kisah berkenaan yang disampaikannya baru-baru ini.

Menurutnya, kisah itu digunakan semata-mata sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.

“Namun, saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorazli berkata, kontroversi yang tercetus itu akan dijadikan pengajaran untuknya supaya lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa akan datang.

“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

“Semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa Noorazli memohon maaf secara terbuka, selain menegaskan bahawa agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka.

“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah. Jika kita marah apabila diperlakukan sebegitu, kita tidak seharusnya melakukan perkara sama kepada orang lain.

Akmal turut menegaskan bahawa kenyataan Noorazli itu tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya merupakan pandangan peribadi beliau.

Desakan sama turut dibuat Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang menyifatkan jenaka berunsur seksual membabitkan biarawati dan paderi Katolik sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, tanpa mengira niat di sebaliknya. – UTUSAN

The post Tiada niat untuk menghina agama lain – Norazli Said appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved