
PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) tidak boleh menganggap kepercayaan dan sokongan rakyat sebagai sesuatu yang kekal meskipun mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepercayaan rakyat perlu terus diperoleh menerusi prestasi, kerja yang konsisten serta keupayaan memahami denyut nadi rakyat.
“Tiada parti boleh menganggap kepercayaan rakyat sebagai sesuatu yang kekal.
“Ia perlu terus diperoleh melalui prestasi, kerja yang konsisten dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat,” tulisnya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kemenangan dalam kedua-dua PRN berkenaan tidak seharusnya menyebabkan BN berhenti menilai dan belajar, sebaliknya perlu mengambil kira suara rakyat serta perubahan yang berlaku.
“Di sebalik setiap keputusan pilihan raya, ada suara rakyat yang perlu didengar, perubahan yang mesti difahami dan amanah yang perlu diterjemahkan melalui kerja.
“Politik hari ini semakin dinamik dan pengundi semakin matang dalam membuat pilihan,” katanya.
Pada hantaran sama, beliau mahu seluruh ahli dan jentera BN mengamalkan budaya mendengar, menilai kelemahan, membaca perubahan dan memperbaiki diri perlu terus disuburkan dalam BN bagi memastikan kelangsungan parti pada masa depan.
“Kemenangan kita syukuri. Kekurangan kita insafi. Kepercayaan rakyat terus kita santuni,” kata Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada parti boleh anggap kepercayaan rakyat kekal – Ahmad Zahid appeared first on Kosmo Digital.






