PRN Melaka: Jika BN mahu bergerak solo, ini yang terbaik - Nurulhidayah

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Jika BN mahu bergerak solo, ini yang terbaik - Nurulhidayah
Nurulhidayah

SHAH ALAM - Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berpendapat keputusan yang terbaik bagi Barisan Nasional ( BN) adalah bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Nurulhidayah berkata, bagaimanapun solo bukan sekadar keberanian meletakkan calon di semua kerusi tetapi memerlukan kekuatan.

Menurutnya, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya membuatkan BN terlalu cepat merasakan rakyat sudah kembali sepenuhnya kepada parti.

"Oleh itu, pendapat saya ini lebih baik dan selamat untuk BN terus fokus kepada gerak kerja daripada persoalan siapa pasangan BN di Melaka.

"BN perlu gunakan formula mana yang memberikan kerajaan paling stabil dan paling kuat untuk rakyat Melaka.

"Jika BN mahu bergerak solo, ini yang terbaik tetapi jangan kerana ego. Solo apabila kita benar-benar bersedia," ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, sebarang rundingan bagi menghadapi PRN Melaka tidak semestinya dimuktamadkan sehingga membentuk sebuah ikatan kerjasama politik, kata Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, pihaknya bersedia membuka pintu rundingan secara rasmi kepada mana-mana pihak yang berhasrat membentuk kerjasama, namun ruang rundingan yang diberikan tidak memberi sebarang jaminan automatik.

Tambah Nurulhidayah, PRN Melaka bukan tempat menguji ego politik, ia medan untuk menang dan membentuk kerajaan.

Beliau turut mencadangkan agar BN Melaka harus kekalkan kekuatan dan luaskan sepakat.

"Kenyataan rasmi BN Melaka sekarang menggunakan pendekatan 'BN Plus' terbuka berunding dengan mana-mana pihak tetapi tidak terikat kepada mana-mana formula sebelum keputusan rasmi dibuat.

"BN juga menyatakan mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021

"Ini pada saya jauh lebih strategik daripada meletakkan BN-PN dan BN-PH sebagai dua pilihan yang memaksa atau mencetuskan perdebatan antara kita," ulasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved