
PETALING JAYA: UMNO akan menentukan hala tuju dan bentuk kerjasama politik Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 28 Ogos ini.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, jajaran politik baharu yang terbentuk di Negeri Sembilan mungkin diteruskan ke Melaka dan perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu akan memfokuskan kepada strategi terbaik bagi memastikan kemenangan BN dalam PRN Melaka.
“Setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju politik BN di Melaka termasuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti.
“Apa yang berlaku ketika ini hanyalah perbincangan dalam media serta kenyataan beberapa pihak berhubung kemungkinan jajaran politik membabitkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya melihat tarikh 28 Ogos adalah tarikh yang penting dan tentunya segala isu berkaitan Melaka, selain perkara mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan akan dilaporkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Tiga 2026 di Seri Negeri Melaka.
Ahmad Maslan berkata, beliau akan mengemukakan pandangan khusus mengenai strategi BN di Melaka sekiranya perkara tersebut tidak dibangkitkan oleh anggota MKT lain.
“Kalau tidak ada siapa yang membangkitkan, saya akan bangkitkan kerana saya tidak pernah tidak bercakap dalam setiap kali Mesyuarat MKT untuk memberikan pandangan dan cadangan.
“Apakah cadangan saya kepada mesyuarat itu, biarlah rahsia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menerima dan mematuhi setiap keputusan yang bakal dibuat parti berkaitan PRN Melaka.
Menurutnya, pendekatan politik yang digunakan BN perlu mengambil kira situasi serta kesesuaian di setiap negeri.
“Apa juga keputusan nanti, yang penting ialah kemenangan BN di Melaka,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: MKT UMNO tentukan hala tuju BN 28 Ogos ini appeared first on Utusan Malaysia.






