Tiada parti dominan dalam kerjasama UMNO-Pas 

LocalPolitics
29 Aug 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada parti dominan dalam kerjasama UMNO-Pas 

PETALING JAYA: Kerjasama antara UMNO dan Pas yang mahu dijalinkan semula tidak boleh dilaksanakan secara pukul rata di peringkat nasional, sebaliknya perlu disesuaikan mengikut keadaan setiap negeri berikutan kedua-dua parti mempunyai kekuatan politik yang berbeza. 

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, UMNO dan Pas mempunyai kekuatan berbeza mengikut negeri tertentu, sekali gus menunjukkan tiada parti yang boleh mengetuai kerjasama itu di peringkat nasional.

“Jadi dalam hal ini, kalau kita nak pukul sama rata katakan UMNO mengetuainya maka akan timbul masalah dan kalau nak dikatakan diberi kuasa kepimpinan sama rata juga akan menimbulkan masalah kerana pengaruh kedua-dua parti ni adalah berlainan di setiap negeri.

“Dalam hal ini, UMNO juga memerlukan Pas seperti yang kita lihat di Johor dan Negeri Sembilan dan kemungkinan di Melaka. Dan Ps juga memerlukan UMNO kerana di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sahaja tidak mencukupi bagi Pas untuk meneroka kuasa di peringkat nasional,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, Pas perlu mempunyai keyakinan terhadap kekuatan dan kepemimpinan sendiri dalam menentukan hala tuju kerjasama politik termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau UMNO.

Katanya, keputusan tersebut perlu dibuat berdasarkan keuntungan politik kepada parti, selain berani menentukan bentuk kepemimpinan yang mahu dibawa pada masa akan datang.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, sejarah menunjukkan Pas sering berada dalam kedudukan sebagai parti yang mengikuti parti lebih dominan ketika bekerjasama dalam sesuatu gabungan.

Katanya, keadaan itu pernah berlaku ketika Pas menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973, bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 serta ketika berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Malah, katanya, pada peringkat awal penubuhan Perikatan Nasional (PN), Pas juga bukan parti yang memimpin gabungan berkenaan.

“Jadi sekarang apabila Pas mahu bekerjasama dengan UMNO, persoalannya siapa yang akan mengetuai kerjasama ini, sama ada UMNO atau Pas?

“Contohnya, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri? Adakah daripada UMNO atau Pas? Perkara ini perlu diputuskan kerana jika tidak, Pas sekali lagi hanya akan menjadi pengikut dan bukan parti yang memimpin.

Mazlan berkata, Pas ketika ini mempunyai kelebihan berbanding UMNO dari segi jumlah kerusi Parlimen dan penguasaan kerajaan negeri.

“Jika kedua-dua parti mahu menjadi pemimpin, ia akan menjadi sukar kerana jawatan Perdana Menteri hanya seorang. Jika Pas kekal memperoleh 42 kerusi dan UMNO 30 kerusi pada pilihan raya akan datang, adakah Perdana Menteri sepatutnya daripada Pas?

“Jika UMNO memperoleh lebih banyak kerusi berbanding Pas, maka UMNO pula yang mengetuai kerjasama. Tidak boleh kedua-duanya menjadi pemimpin kerana keadaan itu boleh menimbulkan masalah dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN

The post Tiada parti dominan dalam kerjasama UMNO-Pas  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved