RCI TH: Bekas menteri didakwa Isnin depan - SPRM

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 5:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI TH: Bekas menteri didakwa Isnin depan - SPRM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada sidang media dipejabatnya hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Isnin depan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah mengesyorkan tiga pertuduhan terhadap individu berkenaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalah guna harta dengan curang.

Bercakap dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini, beliau berkata, bekas menteri itu turut mempunyai kaitan dengan aset di Arab Saudi.

Beliau berkata, setakat ini, lima individu telah didakwa di mahkamah susulan penemuan laporan RCI TH melibatkan bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Sdn Bhd serta bekas Ketua Pegawai Operasi TH.

Selain itu, daripada 14 kertas siasatan yang dibuka SPRM sebelum ini, enam telah diselesaikan dengan dua membawa kepada pertuduhan manakala empat lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Abd Halim berkata, lapan lagi kertas siasatan adalah inisiatif SPRM daripada hasil penemuan laporan RCI TH, dengan pihaknya memperakukan siasatan terhadap pelaburan yang didapati meragukan dan mengecewakan.

"Setakat ini, kita telah perakukan tiga termasuk yang akan didakwa Isnin ini, selebihnya masih dalam proses kerana melibatkan entiti luar negara seperti Arab Saudi dan Singapura.

"Proses itu mengambil masa kerana kita perlu melalui proses bantuan perundangan bersama, mendapatkan dokumen daripada pihak luar negara dan merakam percakapan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan dakwaan terdapat pemimpin kanan UMNO yang akan dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya itu selepas Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

"Saya pun tidak pasti dari mana berita itu boleh sampai… tidak ada dalam senarai kita sekalipun maklumat penyiasatan terhadap pemimpin UMNO dilakukan pada minggu hadapan,” katanya.

Sebelum ini, media difahamkan bahawa seorang lagi pemimpin kanan UMNO akan dipanggil SPRM pada minggu hadapan bagi membantu siasatan kes susulan penemuan laporan RCI TH.

Menurut sumber, pemimpin yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi "masa” untuk menyelesaikan urusan perhimpunan agung parti berkenaan yang berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved