JOHOR BAHRU - Jumlah pesakit luar yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam di Johor tidak mencatatkan peningkatan ketara meskipun keadaan jerebu di negeri ini terus memburuk.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata trend kehadiran pesakit luar setakat ini masih berada pada tahap biasa.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima, jumlah pesakit luar yang datang ke fasiliti kesihatan awam di seluruh Johor tidak bertambah dan masih terkawal.
“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan orang ramai, terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan, supaya memakai pelitup muka ketika berada di luar sepanjang musim jerebu ini bagi menjaga kesihatan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rantaian Sejuk dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa beberapa kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat berikutan jerebu.
Keadaan itu memaksa semua institusi pendidikan di negeri ini ditutup bermula 8 Oktober lalu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menggerakkan pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau serta membendung aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negeri.
Menurutnya, setakat ini tiada kejadian pembakaran terbuka dilaporkan. Namun, langkah kawalan dan pendidikan kepada masyarakat terus diberikan penekanan bagi mengelakkan aktiviti berkenaan.
“Kita minta JAS dan PBT meningkatkan lagi pemantauan kerana bimbang berlaku pembakaran terbuka.
“Dalam keadaan cuaca sekarang, diharapkan tiada aktiviti pembakaran terbuka dilakukan kerana boleh mengundang risiko yang lebih buruk,” ujarnya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika jerebu, terutama golongan berisiko tinggi dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.




