Johor peruntukan RM2.76 juta, laksana inisiatif penghantaran ubat melalui pos percuma

LocalHealth & Fitness
12 Oct 2026 • 11:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Johor peruntukan RM2.76 juta, laksana inisiatif penghantaran ubat melalui pos percuma

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membelanjakan RM2.76 juta bagi pelaksanaan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) yang telah mula dilaksanakan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Ogos 2024 hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 469,657 parcel ubat telah dihantar kepada pesakit dengan preskripsi ubat susulan.

“Menerusi inisiatif ini, terdapat peningkatan penghantaran parcel UMP sebanyak 225 peratus, iaitu 24,937 purata parcel sebulan sepanjang tahun ini, berbanding 9,664 purata parcel sebulan sebelum pelaksanaan perkhidmatan ini.

“Inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan pesakit yang kini tidak lagi perlu hadir ke kaunter farmasi KKM bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, inisiatif itu merupakan salah satu usaha perkhidmatan farmasi untuk mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi sekaligus menyediakan perkhidmatan pembekalan ubat yang memudahkan pesakit.

“Terkini, bermula 1 Ogos lalu, enam buah fasiliti KKM termasuklah HSA, Hospital Sultan Ismail, Hospital Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Kempas telah memulakan perkhidmatan penghantaran ubat rangkaian sejuk secara ‘same day delivery’.

“Bagaimanapun, inisiatif ini dijadikan kepada daerah Johor Bahru terlebih dahulu untuk memastikan kawalan rangkaian sejuk ubat-ubatan tersebut terkawal. Sebanyak RM49,500 telah diperuntuk bagi tempoh Ogos 2026 hingga Julai 2027 untuk inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang keadaan jerebu, pihaknya memberitahu tiada peningkatan jumlah kemasukan pesakit ke mana-mana fasiliti kesihatan awam milik KKM di seluruh negeri, setakat ini.

“Setakat ini kita tidak lihat terdapat peningkatan kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan awam susulan keadaan jerebu. Bagi pesakit luar, ia tidak merekodkan peningkatan, jumlah kemasukan pesakit seperti biasa sahaja.

“Bagaimanapun, saya sekali lagi mengingatkan rakyat Johor khususnya yang mempunyai masalah berkaitan sistem pernafasan untuk mengurangkan aktiviti luar serta sentiasa memakai pelitup muka untuk menjaga keselamatan masing-masing,” katanya.

Pada program itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyumbangkan dua buah ambulan untuk kegunaan HSA, manakala Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) pula menyumbangkan beberapa unit katil pengusung untuk kegunaan pihak hospital.-UTUSAN

The post Johor peruntukan RM2.76 juta, laksana inisiatif penghantaran ubat melalui pos percuma appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved