Tiada rumah akan diroboh: Ewon

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 3:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick memberi jaminan tiada struktur rumah penduduk akan dirobohkan bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, seperti dibangkitkan oleh penduduk Kampung Kolopis, Penampang, baru-baru ini.

Beliau berharap penjelasan itu dapat menenangkan penduduk kampung terbabit, sekali gus meredakan kebimbangan mereka.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata penjelasan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara tersebut diharap mampu memberi pencerahan kepada penduduk.

“Saya hargai kerjasama JKR dalam menangani isu berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo yang dibangkitkan penduduk Kampung Kolopis.

“Saya juga menghargai kesudian (Datuk) Shahelmey dan pihak JKR memberi penjelasan serta berbincang mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan ole hpenduduk,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, di sini pada Isnin.

Kunjungan itu bertujuan membincangkan beberapa perkara, khususnya skop kerja tambahan projek Pan Borneo iaitu pembinaan vehicular box culvert bagi laluan kenderaan ringan di Kg Kolopis, yang mencetuskan reaksi penduduk tersebut.

Menurutnya, JKR bersama jabatan dan pihak berkepentingan akan turun padang hari ini (Selasa) bagi membuat penandaan rizab lebuh raya/jalan serta kawasan sebenar yang terlibat.

“Tiada struktur rumah penduduk yang akan dirobohkan untuk pelaksanaan skop tambahan tersebut,” tambahnya.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah wakil penduduk Kg Kolopis iaitu Lofina Justin, Nicholas Toidis dan Johnny Joseph.

Minggu lalu, empat keluarga menyuarakan kebimbangan kemungkinan kehilangan tanah dan rumah sekiranya pembinaan laluan bawah tanah di simpang jalan Tindai Kolopis diteruskan.

Lebih 20 ahli keluarga terbabit membantah projek itu dan menggesa ia dibatalkan supaya tanah serta rumah mereka tidak diambil secara paksa melalui peruntukan Seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah 1960.

Mereka bimbang akta tersebut akan memaksa mereka keluar meninggalkan tanah dan rumah pusaka yang telah mereka duduki sedari dulu lagi jika projek itu diteruskan.

Jurucakap penduduk, Johnny berkata mereka tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan mengenai cadangan itu.

“Pihak berkuasa datang dengan cadangan tanpa berunding dengan kami terlebih dahulu. Kami tidak dapat tidur atau berasa tenang selepas menerima notis pengusiran yang akan memaksa kami keluar dari tanah dan rumah pusaka yang kami duduki.

“Kami juga mahu mempersoalkan keperluan membina laluan bawah tanah itu. Sudah ada empat laluan atau terowong dalam jarak tiga kilometer di Kampung Kambazan dan Tindai, Kolopis. Tidak cukup lagikah?” soalnya.