
BUKIT KAYU HITAM – Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah digerakkan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas sebuah bagasi tanpa pemilik dikesan mengandungi imej disyaki bahan letupan dan dadah menerusi mesin pengimbas.
Pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah beg yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B Kompleks ICQS itu kira-kira pukul 5.55 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah bagasi berwarna merah jambu ditinggalkan di ruangan tersebut.
“Setelah mendapati tiada sesiapa yang menuntut, beg berkenaan dibawa untuk dimbas mesin pengimbas. Setelah imbasan dibuat, pihak kastam mendapati imej berkenaan mengandungi bahan disyaki dadah dan bahan letupan.
“Susulan penemuan imej mencurigakan itu, UPB tiba di lokasi kira-kira pukul 8.45 malam bagi menjalankan penilaian risiko di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa sebelum melaksanakan proses meneutralkan bagasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, bagi memastikan operasi berjalan lancar, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ditutup sementara dari pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam.
“Bagasi itu berjaya dibuka kira-kira pukul 11 malam dan pemeriksaan mendapati tiada unsur-unsur bahan letupan ditemui. Sebaliknya, bagasi tersebut hanya mengandungi pakaian, bekas berisi minyak, pengering rambut berwarna hitam, syampu dan losen,” katanya di sini.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung penemuan bahan letupan dan dadah di Kompleks ICQS berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Bagasi disangka ada bom, rupanya berisi pengering rambut, losen appeared first on Kosmo Digital.





