
KOTA TINGGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi menghadap untuk mempersembahkan nama Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya telah menghantar watikah kepada Istana Negeri Sembilan untuk menghadap sebelum ini dan menunggu jawapan mengenai perkara tersebut.
“Warkah (untuk menghadap) telah diutus, jadi setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kami mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembah maklum warkah berkenaan.
“Satu sahaja (nama calon Menteri Besar yang dipersembahkan) tetapi biar istana yang mengumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mesyuarat penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco luar bandar ke 62 di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, hanya satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan baharu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mendapat perkenan baginda.
Beliau dilaporkan berkata, warkah mencadangkan nama berkenaan sudah diserahkan kepada istana susulan peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Ahmad Zahid berkata, nama tersebut hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan Baginda.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegur anak Ismail iaitu Naim Ismail yang didakwa campur tangan dalam isu pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Presiden UMNO itu berkata, Naim tidak sepatutnya membuat kenyataan tersebut kerana jawatan berkenaan tiada kaitan dengan keluarga.
“Ini isu pentadbiran negeri. Anak beranak campur apa hal. Ini soal Menteri Besar bukan soal bapa dia Ismail Lasim,” ujarnya. – UTUSAN
The post Zahid belum dititah menghadap Tuanku Muhriz appeared first on Utusan Malaysia.






