Aksesori wajib saya bawa apabila menaiki kapal terbang ialah fon kepala atau telinga bagi menapis deruman enjin yang bising. Ini lebih-lebih lagi dalam perjalanan merentas benua yang mengambil masa lebih 12 jam. Tetapi ada insan yang tidak menggunakan fon kepala dan menonton video dengan kuat dalam kapal terbang. Jika ini dilakukan dalam pesawat United Airlines, penumpang boleh diharamkan oleh syarikat.

Pada penghujung Februari, United Airlines mengemaskini garis panduan yang perlu dipatuhi penumpang. Mendengar muzik atau menonton video dengan kuat tanpa menggunakan fon kepala atau telinga boleh dikenakan hukuman diharamkan menggunakan perkhidmatan United Airlines untuk seketika atau selama-lamanya.
Penumpang yang enggan menamatkan panggilan suara atau video selepas pintu kabin pesawat ditutup juga boleh dikenakan hukuman yang sama. Dalam garis panduan yang sama tidak memakai kasut atau pakaian yang dirasakan tidak sesuai juga boleh menyebabkan penumpang dihalang menaiki pesawat. Sekiranya kekecohan berlaku dan operasi penerbangan tergendala, penumpang perlu membayar pampasan kepada United Airlines.
Pendek kata jadilah penumpang yang berhemah. Fon kepala serta telinga dengan ANC sudah semakin mampu milik. Tak perlu menonton video atau muzik dengan kuat dalam kapal terbang seperti anda berada di ruang tamu rumah sendiri.



