Tidak perlu gadaikan keharmonian demi tepukan politik

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tidak perlu gadaikan keharmonian demi tepukan politik
Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

APA yang berlaku di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 wajar dilihat lebih jauh daripada sekadar kontroversi sebuah jenaka.

Ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang menyentuh paderi katolik dan biarawati mencetuskan kecaman pemimpin beberapa parti yang menggesanya menarik balik kenyataan serta memohon maaf.

Kontroversi itu kemudiannya berkembang apabila Noorazli dilaporkan bersedia memohon maaf jika ucapannya menyinggung perasaan, sambil menjelaskan analogi digunakan bukan bertujuan mempersenda individu, kepercayaan atau agama.

Dalam isu berkaitan sensitiviti agama, ia bukan semata-mata apa yang dimaksudkan oleh seseorang ketika bercakap, tetapi bagaimana kata-kata itu diterima oleh masyarakat yang menjadi sasaran atau terkesan.

Kritikan terhadap lawan politik adalah perkara biasa dalam demokrasi, sindiran juga bukan sesuatu yang asing di pentas parti.

Namun apabila agama, tokoh keagamaan dan simbol kepercayaan dijadikan bahan jenaka, ia mudah berubah daripada serangan politik kepada isu yang menyentuh maruah dan sensitiviti penganut.

Apatah lagi ucapan politik hari ini tidak lagi berakhir apabila mikrofon dimatikan. Rakaman video boleh tersebar dalam sekelip mata, dipetik tanpa konteks dan menjadi bahan pertikaian lebih luas.

Laporan lain turut menyifatkan jenaka berkenaan sebagai mempunyai unsur seksual dan mempersenda paderi katolik.

Oleh itu alasan tiada niat menghina tidak seharusnya menutup ruang untuk melakukan muhasabah, sebaliknya kesediaan memohon maaf apabila kata-kata menyinggung pihak lain harus dilihat sebagai tanda kematangan politik.

Pendirian Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bahawa perbezaan politik bukan lesen untuk mempermainkan agama juga membawa mesej lebih besar.

Politik Malaysia memerlukan persaingan, tetapi tidak memerlukan penghinaan.

Pemimpin boleh menyerang dasar, mempertikaikan keputusan dan berbeza pendirian, tetapi jangan jadikan agama sebagai modal murah untuk mendapatkan tepukan penyokong.

Ukuran seorang pemimpin bukan pada seberapa kuat dewan ketawa, tetapi sejauh mana kata-katanya mampu menjaga maruah, kepercayaan dan keharmonian rakyat.

Tepukan mungkin hanya beberapa saat, kesan daripada kata-kata yang melukakan boleh bertahan selamanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved