SHAH ALAM - Tiada keperluan bagi mana-mana rumah ibadat agama lain menganjurkan sambutan Aidilfitri atau Aidiladha termasuk oleh pertubuhan agama lain, apatah lagi jika diadakan di perkarangan rumah ibadat tersebut.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, perayaan berkenaan merupakan perayaan agama Islam.
"Tidak perlulah memberikan alasan atas perkataan ‘keharmonian’ untuk menganjurkannya. Where will all this leads us to?
"Keharmonian bukan setakat tercapai bila pertubuhan agama lain menganjurkan perayaan keagamaan lain dan tidak semestinya kita mesti meraikan bersama setiap perayaan," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengarahkan sebuah persatuan tokong Cina membatalkan rancangan mereka untuk menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan aktiviti keagamaan Islam yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.
Dalam sepucuk surat bertarikh 31 Mac, Pengarah JHEAIPP, Datuk Marzuki Hassan memaklumkan kepada Persatuan Thean Hock Keong di Butterworth bahawa penganjuran acara tersebut adalah 'tidak dibenarkan'.
Jabatan itu menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas menerima aduan daripada sebuah persatuan berhubung penganjuran acara berkenaan.
Mengulas lanjut, Firdaus Wong berkata, keharmonian akan tercapai apabila semua pihak saling menghormati hak satu sama lain untuk beragama dan meraikan perayaan masing-masing sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak melanggar undang-undang seperti mencuri tanah orang lain untuk membina rumah ibadat.
Beliau turut menekankan bahawa terdapat perbezaan antara konsep tauhid dan syirik yang perlu difahami bagi mengelakkan salah kefahaman.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tentang penganjuran perayaan keagamaan lain oleh pihak masjid, surau dan pertubuhan bukan kerjaan (NGO) Islam di perkarangan masjid atau dewan dengan justifikasi dakwah.
"Adakah institusi agama juga akan melarang masjid, surau dan NGO Islam menganjurkan program rumah terbuka perayaan lain selain Islam juga?
"Umat Islam perlu konsisten dengan prinsip. Jangan kita hanya melarang pertubuhan agama lain menganjurkan sambutan agama Islam tetapi pada waktu sama, kita izinkan pula organisasi Islam menganjurkan perayaan selain dari perayaan Islam," katanya.

