Tidak pernah ada PM berani selesaikan isu UEC kecuali Anwar: Loke

LocalPolitics
17 May 2026 • 5:01 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Tidak pernah ada PM berani selesaikan isu UEC kecuali Anwar: Loke

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya Perdana Menteri yang berani menangani dan menyelesaikan isu melibatkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sudah berlarutan berpuluh-puluh tahun.

Menurut Loke, tiada Perdana Menteri sebelum ini yang berani bertindak walaupun sering menjanjikannya dalam manifesto.

“Saya tabik PM, beliau berani tangani isu ini, tidak pernah ada Perdana Menteri, tidak pernah ada kerajaan berani selesaikan isu ini.

“Bila PM laksanakan, mereka kata PM jual orang Melayu padahal semasa nak undi dari orang Cina, kamu setuju. Ini hipokrit.

‘Itu sebab saya tabik kepada Perdana Menteri. Beliau pemimpin yang berani. Orang kata dia tak tunaikan janji tapi saya kata dalam UEC, satu-satunya yang berani adalah Anwar Ibrahim,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan, di Johor hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata Buku Jingga yang merupakan manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada 2013 turut mengandungi janji pengiktirafan terhadap UEC untuk melayakkan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (Ipta).

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengangkat Buku Jingga pada 2013 yang mengandungi janji pengiktirafan UEC, begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Buku Harapan pada 2018.

“Antara manifesto dalam Buku Jingga iktiraf UEC. Kita nak ingatkan ahli PAS sendiri yang iktiraf, jangan putar belit. Hari ni PAS tak setuju, dia kata kita lawan Bahasa Melayu, tak hormat Bahasa Melayu,’’ katanya.

Loke memberitahu, UEC bukan bertujuan untuk menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah pelajar UEC juga mengambil peperiksaan berkenaan.

Jelasnya, fakta menunjukkan lebih 80 peratus pelajar UEC menduduki peperiksaan SPM termasuk 9,580 daripada 10,944 pelajar pada tahun lepas sekali gus meyakinkan Kabinet bahawa pelajar aliran tersebut tetap mengambil peperiksaan kebangsaan sebagai asas pendidikan mereka.

"Pelajar UEC juga duduk SPM… UEC ini setaraf dengan A-Level dan digunakan sebagai kelayakan masuk universiti tetapi syarat asas kita tetap mewajibkan calon memiliki SPM dengan sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah,’’ katanya. - 17 Mei, 2026

The post Tidak pernah ada PM berani selesaikan isu UEC kecuali Anwar: Loke appeared first on Scoop.