
Drama Madu atau Racun terus menjadi perhatian selepas mencetuskan kontroversi susulan kandungannya yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.
Terbaharu, syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) memohon maaf kepada seluruh penonton, peminat serta semua pihak yang menyokong dan menantikan tayangan drama berkenaan.
MIG dalam kenyataan berkata, pihak produksi sentiasa mengambil kira garis panduan serta nasihat berkaitan sensitiviti ketika menghasilkan karya berkenaan.
“Tiada niat dan tidak pernah terlintas untuk menyentuh atau menimbulkan sebarang kontroversi,” menurut kenyataan itu.
Pihak MIG turut mengambil maklum isu yang sedang tular berhubung beberapa babak dalam drama berkenaan yang dilihat menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.
MIG turut menghormati pandangan semua pihak serta menyifatkan teguran yang diterima sebagai satu pembelajaran untuk memperbaiki karya pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Zulkifli berkata penerapan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.
Baca juga:
- ‘Tidak pernah terlintas menimbulkan sebarang kontroversi’ – MIG mohon maaf
Jamil Khir direman lima hari bantu siasatan RCI Tabung Haji
Lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan di Putrajaya positif dadah
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam mengutamakan pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan dengan nilai tersebut.
Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama berkenaan dan mengambil tindakan susulan berdasarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
JPM Hal Ehwal Agama pada masa sama menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik dan membina sahsiah masyarakat.
The post ‘Tidak pernah terlintas menimbulkan sebarang kontroversi’ – MIG mohon maaf appeared first on The Reporter.






