Tiga along ugut lelaki ditahan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 3:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis memberkas tiga lelaki warga tempatan disyaki terbabit kegiatan along atau pinjaman wang tanpa lesen dengan melakukan ugutan. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tiga lelaki warga tempatan disyaki terbabit kegiatan along atau pinjaman wang tanpa lesen dengan melakukan ugutan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 9.22 pagi, Khamis daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurutnya, aktivis itu mewakili rakan lelakinya yang menerima ugutan daripada ejen pinjaman wang tidak berlesen.

"Hasil siasatan awal polis mendapati laporan yang dibuat mempunyai kaitan dengan kertas siasatan dibuka sebelum ini mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

"Dalam kes ini tangkapan telah dibuat pada 6 Mac lalu ke atas tiga lelaki warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan bagi mengesan suspek lain yang terlibat.

Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mohon cadangan pertuduhan.

Jelas beliau, polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan sebarang bentuk jenayah komersial.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak teragak-agak untuk menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes ini serta aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.