TUMPAT - Taktik tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis terbongkar selepas mereka ditahan dalam satu serbuan di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu di sini pada Ahad.
Serbuan jam 12.15 tengah malam itu dilakukan selepas anggota risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi diparkir di tepi sebuah farmasi dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, susulan itu anggota bertugas tersebut membuat serbuan dan bertindak menahan tiga lelaki terbabit untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan sepucuk pistol jenis Air Sport Series bersama lanyard yang diselit di pinggangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa.
Tambahnya, antara yang ditemukan ialah termasuk kad pemegang berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanda nama PDRM, pelekat NCID serta sarung pistol bertulis PDRM.
Ujar beliau, turut dirampas dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Iswara Aeroback selain beberapa barangan lain seperti parang, batang kayu, sarung tangan getah serta aksesori berkaitan.
Tambahnya, pemeriksaan turut menemui dua biji pil yaba dan air ketum di dalam kenderaan suspek.
Menurut Ahmad Radzi, kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
"Turut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM31,018.

