
PONTIAN – Tiga beradik yang maut dalam nahas di Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj, di sini.
Allahyarham Nur Daniel Aiman Norlizan, Nur Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang.
Pengebumian tiga beradik itu disaksikan kira-kira 200 ahli keluarga, saudara-mara, penduduk kampung serta guru dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan ketika jenazah ketiga-tiga beradik diturunkan ke dalam satu liang lahad untuk disemadikan bersama.
Terdahulu, tiga jenazah berkenaan dibawa pulang ke kediaman keluarga selepas bergerak dari Hospital Pontian pada kira-kira pukul 5.30 petang menggunakan tiga van jenazah.
Jenazah tiba di rumah keluarga pada kira-kira pukul 5.45 petang, sekali gus mengundang suasana hiba dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara yang menanti.
Ibu bapa mangsa, Julaiha Munaji dan Norlizan Khamis, diberi peluang menatap wajah ketiga-tiga anak mereka buat kali terakhir sebelum jenazah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Haji Siraj.
Tangisan keluarga mengiringi saat terakhir mereka bersama anak-anak sebelum jenazah disembahyangkan di masjid berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, ketiga-tiga beradik itu maut ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.-KOSMO! ONLINE
The post Tiga beradik selamat disemadikan dalam satu kubur appeared first on Kosmo Online.






