
Tiga beradik berusia lapan hingga 18 tahun maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Pontian.
PONTIAN: Tiga beradik berusia lapan hingga 18 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata kemalangan kira-kira 7.20 pagi itu melibatkan sebuah motosikal Honda ditunggang lelaki berusia 18 tahun bersama-sama dua adiknya, masing-masing berusia 11 dan lapan tahun.
Beliau berkata motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah Jalan Parit Haji Omar menghala ke Kayu Ara Pasong sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian.
“Dua pembonceng yang juga adik-beradik penunggang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hadzrat Hussein berkata pemandu lori berusia 69 tahun pula mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lutut serta telah menerima rawatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal itu dipercayai melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar dan keadaan yang membawa kepada kemalangan berkenaan.
Kedua-dua kenderaan telah ditahan bagi tujuan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian Inspektor Roshini Suppiah menerusi talian 016-2553983 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, difahamkan mangsa yang maut ialah Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisya, 8, serta abang mereka Nor Daniel Aiman, 18.






