GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Tiga beranak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, Muhammad Ziekur Iman Abli, 11, dan seorang wanita dikenali sebagai Maria maut di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang lagi penumpang, Nur Balqis Abli, 21, cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kereta yang dipandu Muhamad Syazwan Hakimi dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
**media[3600632]**
"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tangki yang membawa muatan diesel.
"Akibat kemalangan itu, pemandu bersama dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kesemua mereka dikatakan berasal dari Melor, Kota Bharu.," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
**media[3600633]**
Ujar Choon Foo kesemua mangsa yang meninggal dunia dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua Musang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kami masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihakny menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan ini pada jam 7.16 pagi.
"Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi pihaknya mendapati benar kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan diesel dengan sebuah Perodua Myvi," katanya.
Ujarnya, lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa terlibat dipercayai tersepit di dalam kereta sebelum anggota bertugas mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas untuk menyelamat.
"Mayat tiga beranak itu diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan," katanya.






