
KUALA LUMPUR – Biarpun hanya mempertaruhkan 21 atlet, skuad ju-jitsu Malaysia mencipta kejutan pada Kejohanan Ju-Jitsu Serantau Asia Ke-5 di Kemboja apabila membawa pulang 15 pingat termasuk tiga emas, empat perak dan lapan gangsa, semalam.
Lebih membanggakan, pencapaian itu dicapai daripada lebih 1,000 peserta yang mengambil bahagian pada kejohanan berlangsung di Siem Reap dari 21 hingga 23 Ogos.
Tiga emas negara disumbangkan Akil Mikail Farissadikin yang meraih dua emas dalam kategori Bawah 18 tahun (U18) ju-jitsu lelaki 62 kilogram (kg) dan U18 ju-jitsu no-gi lelaki 62kg, manakala satu lagi emas menjadi milik Umar Hamza Najwan Reshan dalam kategori Bawah 12 tahun (U12) ju-jitsu lelaki 48kg.
Presiden Persekutuan Ju-Jitsu Malaysia (MJJF), Datuk Benjamin Ong Chin Yee, berkata, pencapaian berkenaan jauh melepasi sasaran awal persatuan yang hanya menyasarkan enam hingga tujuh pingat.

“Sudah semestinya prestasi atlet negara kita sangat baik dan saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Daripada lebih 1,000 peserta, kita hanya menghantar 21 atlet tetapi berjaya meraih 15 pingat.
“Pencapaian ini melepasi jangkaan kerana sasaran awal kita hanya sekitar enam atau tujuh pingat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Benjamin, pencapaian skuad negara lebih mengagumkan apabila Malaysia berdepan pasukan seperti Vietnam dan Kemboja yang masing-masing menghantar kira-kira 300 peserta, manakala Singapura membawa 50 atlet.
Katanya, skuad negara turut dibarisi gabungan atlet baharu dan berpengalaman, dengan sebahagian daripada mereka menggunakan pembiayaan sendiri untuk menyertai kejohanan berkenaan.
“Saya sangat bangga dengan barisan skuad ini kerana mereka menunjukkan prestasi yang baik dan berjaya memecahkan pencapaian kita sebelum ini.
“Apa yang amat menggalakkan ialah perkembangan atlet muda kita. Mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa pada usia muda, belajar cara beraksi di bawah tekanan, serta menyedari bahawa mewakili Malaysia merupakan satu matlamat yang boleh dicapai,” tambahnya.
Benjamin berkata, kejayaan itu turut membuktikan kemampuan atlet ju-jitsu negara untuk bersaing di peringkat serantau walaupun hadir dengan jumlah peserta yang lebih kecil berbanding negara lain. – KOSMO! ONLINE
The post Skuad ju-jitsu negara tuai tiga emas di Kemboja appeared first on Kosmo Digital.






